• Berita
  • Kesiapsiagaan dan Respons Pusat Perubatan UniSZA Bagi Menghadapi Potensi Penularan Penyakit Virus Ebola di Malaysia

Kesiapsiagaan dan Respons Pusat Perubatan UniSZA Bagi Menghadapi Potensi Penularan Penyakit Virus Ebola di Malaysia

KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS PUSAT PERUBATAN UniSZA BAGI MENGHADAPI POTENSI PENULARAN PENYAKIT VIRUS EBOLA DI MALAYSIA

Berikutan kejadian wabak penyakit Ebola Virus ( Ebola Virus Disease ) yang telah melanda 4 buah negara di Afrika barat sejak Mac 2014 dan seperti yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Pelarasan Untuk Membendung Penularan Jangkitan Virus Ebola Majlis Kesihatan IPTA pada 15 Ogos 2014, Pusat Perubatan UniSZA (PPU) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa aktiviti kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan penyakit virus Ebola atau Ebola virus disease (EVD).

Memandangkan jumlah pelajar Nigeria di UniSZA adalah agak ramai iaitu 122 orang dan risiko penyakit EVD adalah paling tinggi di kalangan pekerja kesihatan, maka pada 2 September 2014, satu taklimat “ Ebola Virus Disease “kepada staf PPU telah dijalankan bertujuan untuk memberi penerangan yang terperinci berkenaan penyakit EVD serta memperkemaskan pelan kesiapsiagaan menghadapi penularan penyakit ini di UniSZA.

Isu penyakit EVD juga telah dibangkitkan di dalam Mesyuarat “International Student Committee “ pada 28 Ogos 2014 dan telah mendapat perhatian yang serius dari Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa (PPA) serta ahli mesyuarat yag lain . Sehubungan itu, satu taklimat mengenai Ebola Virus Disease telah diadakan pada 3 September 2014 di Auditorium Bangunan Akademik. Ceramah ini dianjurkan oleh PPA dengan kerjasama PPU dan dihadiri oleh pelajar antarabangsa terutamanya pelajar Nigeria. Objektif utama ceramah ini diadakan adalah untuk memberi penerangan yang jelas kepada pelajar-pelajar antarabangsa mengenai wabak EVD serta langkah-langkah yang mesti diambil untuk menghalang penularan wabak tersebut di Malaysia.

PPU juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan telah menyalurkan maklumat berkaitan penyakit EVD dan nasihat kesihatan kepada warga UniSZA terutamanya pelajar yang berada di negara tersebut serta warga UniSZA yang ingin pergi ke negara-negara yang dijangkiti. PPU akan terus memantau perkembangan kejadian penyakit ini melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak JKNT dan sebarang perkembangan terkini mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Diharapkan semua warga UniSZA akan bekerjasama untuk mencegah dan mengawal situasi EVD ini.

 

Disediakan oleh :                                                    

Dr Rozita Ismail
Pegawai Perubatan UMC         

 

CetakE-mel