• Berita
  • Program Berkhatan UniSZA 2013:

Program Berkhatan UniSZA 2013:

Program Berkhatan UniSZA 2013: Program Berkhatan UniSZA 2013 telah diadakan pada 23 November 2013 bertempat di Pusat Kesihatan Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA). Program ini telah diadakan anjuran bersama Pusat Islam dan Pusat Kesihatan UniSZA dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pejabat Pengurusan Pembangunan Hospital dan juga Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ). Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengarah Pusat Islam, Dr. Mohd. Shafiee Hamzah. Program yang bertemakan “Membentuk Generasi Soleh yang Sihat” bertujuan untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan mewujudkan aktiviti kerohanian demi faedah anak-anak staf UniSZA dan komuniti setempat. Ia juga untuk memupuk sifat-sifat positif serta mengeratkan hubungan silaturrahim di antara warga UniSZA dan masyarakat setempat.

Seramai 70 orang peserta yang menyertai program ini adalah anak-anak warga UniSZA dan juga komuniti setempat yang berusia dari 5 tahun hingga 12 tahun. Program berkhatan ini telah dikendalikan oleh empat orang pakar perubatan jemputan dari Pejabat Pembangunan Hospital Pengajar, Dato' Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Bin Abdul Latif, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan(FPSK), Prof. Dr. Nasir Bin Mohamad, Klinik Ehsan, Dr. Liwauddin, Pengarah PKU, Dr. Aminuddin Abdul Rahman, lima orang Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Klinik Kesihatan Seberang Takir. Mereka juga dibantu oleh 15 orang pelajar Kejururawatan FPSK dan juga 14 orang staf Pusat Kesihatan UniSZA sendiri. Program turut dimeriahkan dengan persembahan dari marhaban pelajar UniSZA, perarakan peserta ke Pusat Kesihatan UniSZA dan juga semburan air daripada Emergency Response Team (ERT) UniSZA kepada peserta.

Program ini telah selamat dijayakan dengan sempurna oleh semua pihak yang terlibat. Program ini juga dilihat sebagai satu konsep yang boleh menyemarakkan sikap tolong-menolong dan kerjasama dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah serta mengagungkan syiar Islam dalam kampus. Selain daripada itu juga, ia untuk merealisasikan penghayatan sebenar sebagai hamba Allah yang taat agar ia memberi impak yang positif kepada anak-anak warga UniSZA dan masyarakat  setempat dari sudut rohani dan jasmani.

 


Sila rujuk Galeri Gambar untuk gambar aktiviti sepenuhnya:

 

CetakE-mel